Pada akhir kurun ke-19, keunggulan British sebagai kuasa besar tercabar dengan kemunculan zaman imperialis baru. Pada masa itu, negara Perancis, Jerman, Amerika Syarikat dan Rusia bersaing untuk mendapatkan bahan mentah dan mencari tanah jajahan. Negara-negara Asia Tenggara seperti Tanah Melayu dan Siam yang kaya dengan bahan mentah telah menjadi rebutan kuasa imperialis tersebut.
British sangat bimbang apabila Perancis berminat meluaskan kuasa ke Lembah Menam Chao Phraya dan merancan membina terusan ke Segenting Kra. Pembinaan terusan akan mengancam perdagangan dan kedudukan Singapura sebagai pelabuhan antarabangsa. British semakin bimbang apabila Jerman berusaha mendapatkan Pulau Langkawi daripada Siam. Pada masa yang sama, Amerika Syarikat pula ingin bertapak di Terengganu, manakala Rusia berhasrat membuka petempatan di Ujung Salang. Kebimbangan ini mendorong British mengambil langkah untuk meluaskan pengaruh ke Negeri-Negeri Utara Tanah Melayu.
British telah menandatangani perjanjian sulit dengan Siam pada tahun 1897. Perjanjian itu bertujuan menghalang Siam daripada menyerahkan atau membernarkan mana-mana kuasa lain bertapak di selatan Siam.
Perjanjian Sulit 6 April 1897
- Siam tidak akan menyerahkan Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis kepada mana-mana kuasa lain tanpa izin British.
- British mengakui hak Siam ke atas negeri-negeri tersebut.
- British akan membantu Siam jika diserand musuh.
